MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-22

SABTU, 20 MEI 2023 bersamaan dengan 29 Syawal 1444H - Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) telah mengadakan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke -22. Majlis bermula pada pukul 8.30 pagi, dengan tayangan video aktiviti pelajar. Seterusnya, ibu bapa yang hadir dijemput ke kaunter pendaftaran untuk serahan doorgift dan seterusnya dijemput ke Dewan Asma’. Antara VIP dan AJK PIBG yang hadir ialah, YBrs Tuan Haji Mohamad bin Ya selaku Timbalan Yang Dipertua PIBG dan YM Haji Engku Rajhan bin Engku Ismail Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), serta YB Dato’ Haji Mohd Amar bin Nik Abdullah selaku Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Yang Dipertua PIBG MMP.

Pada pukul 9.30 pagi majlis dimulakan dengan ucapan daripada pengerusi majlis dan bacaan ayat suci al-Quran daripada wakil pelajar dari Tingkatan 2 . Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan oleh, YM Haji Engku Rajhan bin Engku Ismail, Pengarah YIK dan diikuti dengan ucapan perasmian oleh YB Dato’ Haji Mohd Amar bin Nik Abdullah . Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama (STAM) kepada 6 orang pelajar mendapat pangkat MUMTAZ dan 17 orang pelajar yang mendapat pangkat JAYYID JIDDAN. Penyampaian hadiah diwakili oleh Puan Noorzila binti Yahya yang merupakan Penolong Kanan HEM. Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah kecemerlangan terhadap 7 orang tenaga pengajar yang berjaya mencapai peratus kelulusan tertinggi iaitu 100%. Tuan Nik Emran bin Nik Mustapa selaku Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) sekolah dijemput selaku wakil untuk 8 mata pelajaran yang turut berjaya mencipta kenaikan gred purata mata pelajaran . Majlis ditangguhkan buat sementara untuk mudir mengiringi VIP untuk sesi persegaran pada pukul 10.30 pagi.

Sekitar 15 minit kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati beserta frame gambar kepada YM Pengarah. Slot kedua Mesyuarat Agung PIBG kali ke -22 diteruskan dengan lancar dengan beberapa agenda penting. Pembentangan usul berkenaan perancangan dewan terbuka disambut baik dengan pandangan yang positif daripada kedua-dua belah pihak. Sesi edaran tabung untuk pungutan derma secara ikhlas dan sukarela daripada semua tetamu jemputan dan ibu bapa mengakhiri agenda mesyuarat pada sekitar jam 12 tengah hari.

  

Seterusnya para VIP dan AJK PIBG bersama para guru dan ibu bapa dijemput ke jamuan tengah hari. Majlis berakhir sepenuhnya sekitar 1.00 tengah hari dan AJK guru mula mengemas dewan dan kawasan sekitar sepertimana asal.