All Stories

MAJIS SOLAT HAJAT DAN RESTU ILMU TINGKATAN 5

               

21 FEBRUARI 2022 - Maahad Muhammadi Perempuan telah mengadakan Majlis Restu Ilmu berserta Solat Hajat bagi para pelajar Tingkatan 5. Majlis ini diadakan pada jam 1 tengah hari dan dimulakan dengan ucapan Penolong Kanan Pentadbiran Maahad Muhammadi Perempuan. Ucapan tersebut disusuli ucapan dari Tuan Pengetua Maahad Muhammadi Perempuan, Ustaz Haji Ahmad Pakhruddin bin Haji Deraman.

 

            

Selesai sahaja ucapan daripada Tuan Pengetua, wakil pelajar dari setiap kelas Tingkatan 5 menerima sumbangan dari pihak sekolah berupa alat tulis. Majlis diakhiri dengan solat hajat berjemaah antara para guru dan pelajar. Program ini adalah salah satu inisiatif pihak sekolah bagi memastikan pencapaian terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan berjalan pada minggu hadapan dapat dikecapi. Program ini juga diharapkan dapat menzahirkan sokongan pihak sekolah terhadap semua pelajar tingkatan 5.

MAJLIS PENYERAHAN LENCANA MUMTAZ SOFI

                    

SELASA, 8 FEBRUARI 2022 - Maahad Muhammadi Perempuan telah mengadakan Majlis Penyerahan Lencana Mumtaz Sofi bagi calon-calon SMU sesi persekolahan 2021. Majlis ini adalah bertujuan menzahirkan sokongan pihak pentadbir serta para guru terhadap para calon SMU. Selain itu, tujuan seterusnya adalah bagi memastikan mereka menanam keazaman yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan tersebut.

 

                 

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan tuan pengetua Maahad Muhammadi Perempuan, Ustaz Tuan Haji Ahmad Pakhruddin bin Haji Deraman. Seterusnya, dilakukan penyerahan lencana Mumtaz Sofi kepada setiap ketua kelas dan penolong ketua kelas tingkatan 4. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan dari Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum berkaitan simbolik di sebalik pemakaian lencana. 

 

                 

Majlis ini diiringi bacaan doa dan sesi fotografi sebagai penutup. Harapannya, agar para pelajar mampu mencapai keputusan cemerlang yang terbaik dalam peperiksaan SMU yang akan bermula pada minggu hadapan

GOTONG ROYONG PERDANA SESI 2022

Rabu , 30 Mac 2022 - Maahad Muhammadi Perempuan telah mengadakan gotong-royong perdana bagi sesi 2022. Aktiviti ini melibatkan para pelajar dan guru di sekolah.                                                                                                                                                                                                                                                       

Sebelum bermula acara gotong-royong perdana, para pelajar dan guru diminta menjamah dahulu kuih-muih yang disediakan pihak kantin di hadapan Astaka. Kemudian, setiap guru kelas diminta membahagikan tugas-tugas kepada setiap pelajar bagi melaksanakan program Gotong-Royong Perdana. Para pelajar dan guru kemudian mula bergerak ke kawasan masing-masing dengan pelbagai peralatan seperti kain buruk, baldi, penyapu dan berus.                                                           

                                                              

 Pada pukul 12.00 tengah hari, para pelajar dan guru berkumpul di kantin untuk menikmati jamuan makan tengah hari. Para pelajar telah diberi sebungkus nasi lemak dan air sirap. Sebelum acara berakhir, murid-murid dikehendaki menyimpan semula peralatan-peralatan yang digunakan semasa gotong-royong tadi. Disebabkan usaha gigih para pelajar membersihkan kawasan sekolah, setiap guru kelas memberi para pelajar upah dan para guru juga turut berpesan untuk mengamalkan budaya 'sentiasa bersih'.    

                                        

                                                                    

SUMBANGAN MAKANAN KEPADA PELAJAR SMU

  

20 FEBRUARI 2022 - Sumbangan makanan dan minuman daripada pihak sekolah telah diagihkan kepada pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Pelajar- pelajar Maahad Muhammadi Perempuan mula keluar daripada dewan peperiksaan pada jam 9.30 pagi. Sejurus keluar daripada dewan peperiksaan, guru-guru mula mengagihkan makanan kepada pelajar yang telah selesai menduduki peperiksaan.

Pelajar-pelajar mula menikmati makanan bersama rakan-rakan sambil menunggu untuk masuk ke dewan peperiksaan bagi kertas peperiksaan yang seterusnya.

Setelah selesai pengagihan makanan dan minuman kepada pelajar-pelajar, mereka mula bersedia untuk memasuki dewan peperiksaan setelah selesai makan bagi menghabiskan kertas peperiksaan pada hari ini pada jam 11.30 pagi.

 

Pihak sekolah memohon jasa baik Tuan/Puan/Encik/Cik untuk memberi sumbangan makanan kepada pelajar SMU. Sumbangan ini dapat diberikan melalui :

Nama Akaun: KUMPULAN WANG MAAHAD MUHAMMADI PEREMPUAN

Nombor Akaun: 03-036-01-0000546                                                                                

 

 

MAJLIS PERSARAAN CIKGU WAN NORIZAN

Isnin, 7 Februari 2022 - Pihak Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan Sekolah (BAKEG) bersama guru-guru dari bilik guru blok A telah mengadakan satu majlis ringkas sempena persaraan Cikgu Wan Norizan bt Che Mat Zin. Majlis tersebut bermula pada pukul 12.30 tengahari sehingga 1.30 petang. Majlis turut dihadiri oleh Tuan Haji Ahmad Pakhruddin bin Deraman, Mudir Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Emran bin Dato' Paduka Nik Mustapha, Hajjah Noor Zila bt Yahya, Penolong Kanan HEM, dan Hajjah Norazlina bt Omar, Penolong Kanan Kokurikulum serta beberapa orang guru dari bilik guru blok A.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan ucapan daripada Ustazah Hasinah selaku Pengerusi BAKEG. Majlis seterusnya diteruskan dengan ucapan penghargaan daripada Tuan Mudir yang menyifatkan bahawa 31 tahun perkhidmatan Puan Norizan merupakan satu anugerah yang tidak ternilai di Maahad Muhammadi Perempuan.

 

Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada Pihak BAKEG sebagai tanda penghargaan atas khidmat yang telah beliau taburkan. Setelah itu, doa selamat dibaca oleh pengerusi majlis sebagai penutup majlis. Kemudian, para hadirin dihidangkan dengan sedikit jamuan ringkas sebelum mengiringi Puan Norizan ke lokasi thumbprint untuk melakukan thumbprint wada' iaitu thumbprint terakhir. Majlis diakhiri dengan iringan kereta Proton X50 yang dihias indah menuju ke kediaman Cikgu Wan Norizan.

 

 

MAJLIS PERPISAHAN USTAZAH HARTINI DAN USTAZAH HANAN

Rabu , 30 Mac 2022 - Satu majlis perpisahan telah diadakan bagi meraikan Ustazah Hartini binti Rosli dan Ustazah Hanan binti Mohamad yang bakal bertugas di tempat baharu. Majlis tersebut dihadiri oleh Tuan Haji Ahmad Pakhruddin bin Deraman selaku mudir Maahad Muhammadi Perempuan , dan Penolong Kanan Kokurikulum , Hajjah Norazlina bin Omar serta beberapa rakan guru yang lain .

 

                                                               

                                                                     

 

Majlis dimulai dengan bacaan surah Al- Fatihah dan kata alu-aluan daripada pengerusi majlis. Majlis tersebut diteruskan dengan ucapan daripada Ustazah Hartini dan Ustazah Hanan. Ustazah Hartini akan menyambung perkhidmatan sebagai tenaga pengajar di Sabah manakala Ustazah Hanan akan bertugas di Selangor. Tidak sempurna majlis tanpa ucapan penghargaan daripada mudir tercinta , beliau mewakili seluruh warga MMP telah mengucapkan ribuan terima kasih atas segala jasa yang mereka taburkan .

 

 

 

Majlis diakhiri dengan bacaan doa serta jamuan makan secara kecil-kecilan di kantin sekolah sebagai tanda perpisahan, Warga MMP mendoakan Ustazah Hartini dan Ustazah Hanan terus bersemangat dalam mendidik anak bangsa.

 

 

PEPERIKSAAN SMU 2021

Isnin 14 Februari 2022 - Peperiksaan Sekolah Menengah Ugama (SMU) di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah dijalankan secara serentak bermula hari ini.

                                                   

Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan diminta berkumpul di hadapan astaka pada pukul 8:00 pagi sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi mendengarkan sedikit taklimat ringkas daripada guru-guru SMU dan membaca doa. Pelajar mula memasuki dewan peperiksaan pada pukul 8:15 bagi bersiap sedia untuk menjawab soalan peperiksaan mata pelajaran Al-Quran.

                                                                          

                                                 

Tepat pukul 10:00 pagi, pelajar beransur keluar daripada dewan untuk rehat. Makanan dan minuman telah disediakan oleh para guru yang bertugas.

                                                

Peperiksaan mata pelajaran Tauhid pula akan bermula pada pukul 11:30 pagi.

                                                

Semoga maju jaya kepada semua pelajar tingkatan 4 yang sedang menduduki peperiksaan SMU !

 

 

MAJLIS PERSARAAN USTAZAH NORIZAN MOHD NOR

 

 

Ahad, 6 Februari 2022- Majlis persaraan Ustazah Norizan binti Mohd Nor telah diadakan pada 6 Februari 2022 di sekolah Maahad Muhammadi Perempuan sekitar jam 11.30 hingga 1 tengah hari. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Tuan Haji Ahmad Pakhruddin bin Deraman selaku pengetua Maahad Muhammadi Perempuan, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Ko-Kurikulum dan para guru Maahad Muhammadi Perempuan.

 

 

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diikuti ucapan ringkas dari pengerusi majlis. Seterusnya, Uztazah Norizan binti Mohd Nor iaitu guru yang dirai memberikan ucapan terakhir beliau sebagai seorang guru. Tuan Pengetua sekolah juga tidak ketinggalan untuk memberikan ucapan penghargaan buat Ustazah Norizan di atas jasa yang telah ditaburkan oleh beliau sepanjang tempoh berkhidmat di Maahad Muhammadi Perempuan. 

 

 

Majlis diteruskan dengan acara penyampaian cenderahati oleh para pentadbir dari pihak Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan sekolah (BAKEG) dan pihak BADATI sebagai tanda penghargaan kepada Ustazah Norizan. Setelah itu, Ustazah Norizan dijemput menikmati juadah yang telah disediakan. Majlis diakhiri dengan para pentadbir dan guru-guru mengiringi Ustazah Norizan pulang ke teratak beliau di Kubang Kerian. Majlis persaraan Ustazah Norizan berjalan dengan lancar dan meriah.

 

 

PROGRAM JARINGAN KOLABORATIF ANTARA FAKULTI PENDIDIKAN, UNIVERSITI MALAYA DENGAN MAAHAD YAYASAN ISLAM KELANTAN

Isnin, 21 Mac 2022 - Sebuah program iaitu ‘Program Jaringan Kolaboratif antara Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dengan Maahad Yayasan Islam Kelantan’ telah diadakan di Maahad Muhammadi Perempuan di dewan Asma’. Pihak Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya yang diketuai oleh YBhg. Prof. Maya Dr, Muhammad Faizal bin Ab. Ghani telah mengadakan program tersebut bermula dari pukul 2.30 petang dan tamat pada pukul 4.30 petang.

 

 

Beliau telah memberikan beberapa penerangan yang bertajuk ‘Model Kepimpinan Guru Malaysia’. Kemudian program tersebut diteruskan dengan aktiviti yang memerlukan para guru untuk berada dalam beberapa buah kumpulan dan membincangkan mengenai beberapa perkara seperti perbezaan antara kepimpinan dan pengurusan berdasarkan contoh amalan harian mereka dan membina sebuah pelan penambahbaikan sekolah berdasarkan TIGA what dan how. Setelah itu beberapa orang guru dipilih untuk memberi pendapat mengenai tajuk yang diberikan.

 

 

 

Program kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada pihak sekolah kepada pihak fakulti pendidikan Universiti Malaya. Seterusnya pihak fakulti juga turut menyampaikan cenderahati kepada pihak sekolah. Setelah itu majlis diakhiri dengan sesi penggambaran bersama di atas pentas.

 

 

 

MAJLIS MAKAN MALAM, PERSARAAN & PERPISAHAN GURU DAN KAKITANGAN

RABU, 9 FEBRUARI 2022- Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan (BAKEG) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Muhamadi Perempuan julung-julung kalinya telah menganjurkan tiga acara dalam satu malis gilang-gemilang yang bertempat di H Elite Design Hotel, Tunjong, Kota Bharu. Umum memahami situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melalui beberapa fasa telah menyebabkan beberapa program sekolah perlu ditangguhkan seperti majlis perpisahan dan jamuan akhir tahun. Namun kali ini pihak BAKEG telah berjaya menyatukannya bersama dengan majlis persaraan untuk tiga orang guru yang telah sekian lama menabur ilmu dan bakti di bumi Maahad ini. Guru-guru bersara yang diraikan ialah Cikgu Rosnani binti Hassan yang berkhidmat semenjak tahun 1985, manakala Ustazah Norizan binti Mohd Nor dan Cikgu Wan Norizan binti Che Mat Zain pula masing-masing berkhidmat sejak 1992. 

Majlis bermula sekitar jam 8.30 malam oleh Pengerusi Majlis, Cikgu Azhar bin Yaakub dan seterusnya bacaan doa oleh Ustaz Mohd Asri bin Shaari. Majlis diteruskan dengan kata-kata aluan dan penghargaan oleh Tuan Pengetua Tuan Haji Ahmad Pakhruddin bin Deraman. Beliau meluahkan rasa kagum terhadap terhadap jasa bakti semua yang diraikan khususnya para guru yang telah berkhidmat melebihi 32 tahun di MMP. Tuan Pengetua turut menyelitkan nasihat agar masing-masing menjaga kesihatan dengan pengambilan makanan yang berkhasiat agar kekal sihat sepanjang hayat. Ucapan beliau diakhiri dengan serangkap pantun yang mengundang rasa terhibur kepada semua yang hadir.

dinner
Ruang utama majlis, bertempat di Ballroom 2, di tingkat 3, H Elite Design Hotel, Tunjong

Seterusnya majlis menjemput Tuan Haji Mohamed bin Ya yang merupakan Timbalan YDP PIBG Maahad Muhammadi Perempuan yang mewakili YDP PIBG iaitu Dato' Nik Mohd Amar Abdullah. Ucapan beliau nyata menghiburkan para hadirin dengan seloka beliau berkenaan perkenalannya dengan Tuan Mudir dan beberapa orang ustaz dalam mencari ilmu. Majlis perasmian yang ditunggu-tunggu akhirnya  disempurnakan oleh Pengerusi YB, Haji Wan Roslan bin Wan Hamat yang merupakan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO bagi negeri Kelantan.

 

 Tetamu VIP yang hadir dari kiri: Tuan Haji Mohamed bin Ya, YB Haji Wan Roslan Wan Hamat, Tuan Mudir Ahmad Pakhruddin Deraman dan Penolong Kanan Pentadbiran Encik Nik Emran @ Nik Muhammad bin Nik Mustapha

 

 

 Tuan Pengerusi Majlis yang sentiasa menceriakan majlis, Encik Azhar Yaakub.

 Ucapan dan kata-kata aluan oleh Tuan Pengetua Maahad Muhammadi Perempuan , Tuan Ahmad Pakhruddin Deraman

 

  Ucapan oleh Tuan Mohamed bin Ya , selaku Timbalan Yang Dipertua PIBG 

 

  Ucapan oleh YB Haji Wan Roslan Wan Hamat, Pengerusi Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan

 

 

  Guru-guru bersara yang diraikan dari kiri: Puan Wan Norizan Che Mat Zain, Puan Norizan Mohd Nor dan Puan Rosnani Hassan.

 

Majlis diserikan lagi dengan persembahan seni silat Pusaka Gayung Malaysia yang penuh aksi bertenaga oleh Ustaz Ahamad Naim Abdullah. Persembahan beliau mendapat pujian dan tepukan gemuruh daripada semua tetamu yang hadir.

 

 Acara persembahan silat oleh Ustaz Ahmad Naim Abdullah.

 

  Para tetamu seterusnya dijemput menjamu selera di meja masing-masing, doa makan dibaca oleh Pengerusi Majlis.

 

  Ucapan Ustazah Norizan Mohd Nor mewakili guru-guru yang bersara 

 

Majlis seterusnya menjemput Ustazah Norizan Mohd Nor untuk menyampaikan ucapan bagi pihak guru yang bersara. Beliau menyatakan rasa terharu dengan majlis yang diraikannya bersama rakan-rakan serta tidak menyangka dengan sambutan yang disifatkannya cukup ekslusif dan menganggapnya sebagai rezeki daripada Allah SWT. Beliau mengucapkan syukur dan berterima kasih dengan pelbagai hadiah penuh makna khususnya sebentuk cincin daripada pihak sekolah untuk semua guru yang bersara pada tahun ini (2020). 

Hadiah berupa sebentuk cincin untuk setiap guru yang bersara sebagai kenang-kenangan.  

Majlis disambung dengan penyampaian cenderahati kepada semua tetamu VIP yang hadir, guru-guru bersara yang dirai, serta guru dan kakitangan yang telah bertukar ke tempat baru. Acara cabutan bertuah menambah kemeriahan dan keceriaan malam dengan pelbagai jenis hadiah yang menarik seperti bekas makanan berjenama Tupperware, peralatan dapur dan beberapa barangan elektrik yang berjenama. Majlis berakhir pada jam 11.00 malam. 

 

Suasana majlis makan malam

 

Sebahagian hadiah untuk tetamu yang diraikan.

 

Sumbangan cenderahati buat tetamu VIP daripada Unit BAKEG yang disaksikan oleh Ustazah Hasinah Mustapha selaku Pengerusi kelab berkenaan.

Tahniah diucapkan kepada semua hadirin yang mendapat cabutan bertuah!

UJIAN BERTULIS DAN LISAN 2022

 

Sabtu, 22 Januari 2022 - Maahad Muhammadi Perempuan telah mengadakan ujian bertulis dan lisan untuk kemasukan pelajar Tingkatan 1 bagi sesi 2022. Para calon mula masuk ke dewan peperiksaan pada pukul 9:30 pagi. 

Setelah memastikan semua calon bersedia, ujian bertulis dimulakan pada pukul 10:00 pagi. Ujian bertulis selesai pada pukul 11:30 pagi.

 

 

Calon yang sudah selesai ujian lisan dan bertulis, dibenarkan beransur pulang. Bagi calon yang belum menduduki ujian lisan, mereka diminta ke masjid Maahad Muhammadi Perempuan pada pukul 12:00 tengah hari. 

  

Semoga para calon yang hadir mendapat peluang untuk menjadi sebahagian daripada pelajar Maahad Muhammadi Perempuan. Selamat maju jaya!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sous-catégories

PAUTAN SEKOLAH YIK

Maahad Muhammadi Lelaki KTSNA          

Waktu Solat

Bachok,Kota Bharu,Machang,Pasir Mas,Pasir Puteh,Tanah Merah,Tumpat,Kuala Krai,Mukim Chiku
29 Zulkaedah 1443
05:36
Imsak
05:46
Subuh
07:01
Syuruk
13:17
Zohor
16:43
Asar
19:30
Maghrib
20:42
Isyak