PROGRAM PENGUKUHAN BAHASA INGGERIS DAN BAHASA ARAB

 

 

 

 

 

Pada 24 & 25 SEPTEMBER dan 1 & 2 OKTOBER 2021 - Maahad Muhammadi Perempuan telah mengadakan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab yang merupakan salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh Unit Kurikulum di bawah Jawatankuasa Unit Pemerkasaan Bahasa Arab dengan kerjasama Panitia Bahasa Arab dan Panitia Bahasa Inggeris MMP. Kumpulan sasaran ialah semua pelajar dari aliran menengah rendah dan atas iaitu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Enam. 

 

 

Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan penguasaan kosa kata Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris selain menggalakkan dan menanam keyakinan berkomunikasi pelajar dalam kedua-dua bahasa serta membudayakannya.
Tempoh pelaksanaan adalah pada hari minggu iaitu Jumaat dan Sabtu selama 4 hari iaitu pada 24 & 25 September dan 1& 2 Oktober 2021. Memandangkan tempoh pandemik masih belum berakhir, program ini berlangsung melalui platform Google Meet yang nyata mendapat sambutan yang cukup baik dari setiap Tingkatan.

 

 

Iklan untuk penyertaan para pelajar bagi setiap acara telah disebarluas melalui aplikasi whatsapp dari unit pelaksana program seminggu lebih awal bagi memastikan semua pelajar bersedia dan berpeluang untuk mengasah bakat masing-masing. Setiap acara dihadiri beberapa pentadbir dan guru-guru untuk bersama-sama menyokong selain dapat menyaksikan kehebatan para peserta yang telah mengambil bahagian. Program kedua-dua bahasa berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari dengan akses ke link Google Meet yang diberi lebih awal lagi.
Aturcara aktiviti untuk setiap Tingkatan adalah cukup menarik iaitu seperti Poem recitation, Grammar challenge quizzes, News Broadcasting Challenge dan Virtual Talk & Video Presentation of Covid 19 bagi Bahasa Inggeris, manakala aktiviti bagi Bahasa Arab pula ialah Nasyid Tasrifiyah, Musabaqah Hiwar, Taqdim Muqabalah serta Musabaqah Fazurah Mubasyarah.

 

 

Program berakhir dengan ucapan penutup oleh Yang Berbahagia Pengetua Maahad Muhammadi (P) iaitu Tuan Haji Ahmad Pakhruddin bin Deraman, yang merupakan individu terpenting dalam usaha memastikan program ini tetap dilaksanakan walaupun secara maya. Beliau turut memberi suntikan keramat kepada semua pelajar dan peserta yang terlibat dengan menyatakan kepentingan dalam menguasai banyak bahasa kerana ia akan memberi kelebihan dalam kehidupan pelajar kelak.

 

 

Beliau turut berharap agar program ini mampu memberi impak yang tinggi dan positif dalam kalangan pelajar yang sentiasa cuba mempraktikkan Bahasa Arab & Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya mendapat tempat terbaik dalam setiap pertandingan di setiap Tingkatan. Ucapan jutaan terima kasih juga turut disampaikan kepada semua guru dan pelajar yang telah bertungkus-lumus menjayakan program kali ini.

 

 

 

Author’s Posts